Wednesday, March 25, 2009

Kit pendidikan guna kaedah interaktif

dipetik dari http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0319&pub=Utusan_Malaysia&sec=Megabait&pg=me_03.htm

OLEH LAUPA JUNUS laupa.junus@utusan.com.my



Mari ikut Bunga nyanyi," kata bunga matahari pula. Mereka semua menyanyi dengan gembira sambil menunjukkan mimik muka yang dinyatakan dalam lagu tersebut.

Dialog di atas merupakan sebahagian kecil daripada kandungan buku interaktif yang akan dipasarkan seawal-awalnya hujung tahun ini sebagai sebahagian daripada pendekatan membimbing kanak-kanak prasekolah untuk meningkatkan kemahiran literasi, emosi dan komunikasi.

Buku tersebut merupakan satu daripada tiga komponen dalam satu kit untuk membimbing kanak-kanak tadika untuk memupuk minat mereka mempelajari apa yang diajar .

"Ia bagaimanapun memerlukan peranan ibu bapa serta guru untuk menjadi sebahagian daripada watak-watak dalam dialog dan sebagai pembimbing,'' kata pakar pendidikan psikologi, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Rahil Mahyuddin.

Beliau menjelaskan, buku tersebut akan dipasarkan bersama cakera padat (CD) yang mengandungi 'drama' lakonan watak-watak dalam cerita yang dihasilkan, bertujuan memupuk minat dan menjadikan kanak-kanak tertarik untuk belajar.

CD dan buku akan disertakan dengan ujian diagnostik untuk menguji tahap literasi dalam subjek matematik dan bahasa selain kemahiran emosi , komunikasi dan dan sosial.

Kit tersebut juga akan diisi dengan manual untuk panduan ibu bapa serta guru menggunakannya.

Sebanyak 12 siri buku yang semua kandungannya turut dimuatkan dalam CD dalam bentuk visual dan audio bagi menarik minat kanak-kanak belajar cara mudah, malah boleh menyanyi bersama watak dalam buku tersebut.

Dr Rahil menjangka produk tersebut akan mendapat sambutan tetapi niatnya bersama rakan penyelidik lain ialah supaya minat kanak-kanak dapat dipupuk dalam konteks membina pemikiran kognitif yang positif.

Buku tersebut dijangka memberi dimensi baru dalam pendidikan kanak-kanak dengan menggunakan pendekatan belajar sambil berhibur, tidak membosankan mereka dan diharap dapat menimbulkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan.

Selain Dr. Rahil sebagai ketua, turut terlibat dalam penyelidikan tersebut ialah Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Pendidikan UPM, Dr Samsilah Roslan dan Dr. Maria Chong Abdullah, Prof. Dr. Habibah Elias dan Dr Tajularipin Sulaiman, pensyarah Psikologi Pendidikan fakulti yang sama.

Kit tersebut yang belum ditentukan harganya, dikeluarkan hasil penyelidikan kumpulan tersebut dalam tempoh dua tahun.

Tajuk penyelidikan itu ialah Diagnosis Penguasaan Kemahiran Asas Kanak-kanak yang dibiayai oleh Geran Tumpuan Penyelidikan Dalam Bidang Keutaman (IRPA).

Kajian tersebut dijalankan berdasarkan laporan Jabatan Penyelidikan Perancangan Pendidikan (EPRD) pada 2002 yang menyatakan lebih 80,000 pelajar sekolah rendah di negara ini mempunyai masalah dalam perkara-perkara asas seperti pembacaan, penulisan dan aritmetik.

Menurut Dr. Rahil, berdasarkan laporan tersebut ia berlaku kerana sekolah menghadapi kesukaran mengenal pasti serta cara mengatasi masalah sebenar.

Masalah lain termasuk kanak-kanak terbabit mengalami masalah pembelajaran kerana kurikulum sekolah adalah age-related .

Mereka ini memerlukan perhatian individu, justeru mereka menghadapi kesukaran terutama dalam pemerolehan kemahiran asas dan kemahiran yang berkaitan dengan kemahiran komunikasi, kefahaman serta sosioemosi.

Kanak-kanak memerlukan bantuan dalam kemahiran komunikasi, literasi dan sosioemosi. Pelbagai pendekatan telah diutarakan oleh pakar, namun yang paling penting ialah interaksi berterusan antara ibu bapa dan guru dengan kanak-kanak.

Tanpa interaksi ini, perkembangan kanak-kanak tersebut akan terjejas menyebabkan penguasaan bahasa dan pembelajaran mereka di sekolah turut terjejas.

Justeru katanya, kit yang ditawarkan itu mempunyai komponen ujian diagnostik, sebagai mengenal pasti kelemahan pemerolehan kemahiran asas dan pelbagai aspek kesediaan dan set intervensi untuk mengatasi masalah tersebut.

Kajian dijalankan menggunakan kaedah kuantitatif dan melibatkan kanak-kanak prasekolah Tahap 1 dan Tahap 2.

Secara umumnya, masalah pelajar melibatkan subjek Matematik, bahasa Melayu, komunikasi, sosio-emosi dan kemahiran pemahaman sama ada mereka dari luar bandar atau sebaliknya.

0 comments:

PERMOHONAN PEMBANTU PENGURUSAN MURID (PPM) SAMBILAN BAGI PRASEKOLAH PPDPP

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Pembantu Pengurusan Murid (PPM) Sambilan bagi kelas prasekolah di PPDPP boleh mula dipohon. Berikut ...

 
Design by Wordpress Theme Edited by Mofazri | Bloggerized by Free Blogger Templates | coupon codes